You are here

Amaran letupan besar

JAKARTA 27 Nov – Lebih 100,000 penduduk yang berada dalam lingkungan zon berbahaya Gunung Agung, di Bali terpaksa dipindahkan selepas pihak berkuasa Indonesia mening­katkan amaran ke tahap tertinggi (tahap empat) berikutan meningkatnya risiko berlaku letupan besar daripada gunung berapi tersebut.

Agensi Mitigasi Bencana Indonesia (BNPB) berkata, seramai 40,000 yang berada dalam lingkungan lapan hingga 10 kilometer di sekeliling kawasan berkenaan sudah dipindah­kan manakala selebihnya dipindah­kan selepas amaran mengenai le­­tupan besar dikeluarkan hari ini.

“Debu dan letupan perlahan dapat didengar pada jarak 12 kilome­ter dari puncak. Api dapat dilihat pada waktu malam yang menunjukkan kemungkinan letupan berlaku pada bila-bila masa.

“Dengan jangkaan kemung­kinan dan risiko bencana yang semakin meningkat, Pusat Gunung Berapi dan Pencegahan Bahaya Geologi (PVMBG) menaikkan ama­ran daripada tahap tiga kepada empat bermula jam 6 pagi pada waktu tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Lapangan terbang Bali juga terpaksa ditutup ekoran asap dan de­bu tebal di ruang udara yang menjejaskan jarak penglihatan, me­nyebabkan 445 penerbangan dengan lebih 59,000 penumpang terkandas.

Laman web rasmi lapangan ter­bang Bali menunjukkan pener­ba­ngan yang dikendalikan oleh Si­n­gapore Airlines, Sriwijaya, Garuda Indonesia, Malaysia Airlines (MAS) dan Jetstar turut dibatalkan.

Rakaman yang disiarkan stesen televisyen menunjukkan keadaan aliran lahar sejuk membawa lumpur dan batu besar di beberapa lokasi di pergunungan yang berpotensi memusnahkan rumah, jambatan dan jalan di sekitar laluannya.

Menurut PVMBG, gunung berapi itu kini semakin aktif mengeluarkan asap dan abu sejak mula meletus pada 21 November lepas.

Memetik laporan media dalam talian tempatan, beberapa letusan aktif berlaku pada Sabtu lalu dan semalam, mengeluarkan asap tebal setinggi 3,000 meter.

Zon Perkiraan Bahaya turut di­per­luaskan kepada lapan kilometer dari kawah gunung berbanding enam kilometer sebelum ini.–REUTERS/AFP

Related posts

Leave a Comment