You are here

Menyingkap rahsia Holodomor

Peristiwa Holodomor di Uk­raine mungkin kedengaran asing bagi masyarakat dunia kerana ia tidak pernah diceritakan kepada umum sebelum ini.

Ini kerana Kesatuan Soviet menyimpan kesemua rekod peristiwa tersebut di dalam arkib mereka dan tidak pernah didedahkan sehinggalah Ukraine mencapai ke­merdekaan pada tahun 1991.

Selepas mencapai kemer­de­­­ka­an, baru arkib ejen perisikan So­viet, KGB dibuka kepada umum dan ramai orang terutamanya para sejarawan mula menyingkap tragedi hitam yang berlaku di Ukraine ketika itu.

Apa itu Holodomor? Holodomor dalam bahasa Ukraine bermaksud pembunuhan melalui kebuluran beramai-ramai.

Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1932 hingga 1933 yang mengorbankan kira-kira 7.5 juta penduduk Ukraine termasuk tiga juta kanak-kanak.

Holodomor adalah agenda ke­ke­jaman regim Kesatuan Soviet yang ketika itu diperintah oleh diktator ketika itu, Josef Stalin dengan tujuan menghapuskan semangat kebangsaan rakyat Ukraine.

Stalin mahu menghapuskan se­­luruh rakyat Ukraine dan kebuluran adalah cara paling ‘mudah’ bagi membunuh mereka. Ini kerana penduduk Ukraine ketika itu mencecah sehingga 20 juta orang.

Pada tahun 1932, Stalin mengeluarkan arahan untuk merampas kesemua hasil tanaman dan ternakan milik penduduk Ukraine. Ukraine ketika itu mempunyai hasil tanaman serta ternakan yang banyak dan oleh itu, Stalin berniat untuk mengeksploitasi hasil pertanian yang diperoleh oleh penduduk tempatan.

Perniagaan runcit diharamkan di daerah luar bandar dan ini menyebabkan petani tidak dapat membeli roti yang menjadi makanan utama penduduk di sana.

Kerajaan melaksanakan sistem senarai hitam yang mencegah penjualan barangan seperti mi­nyak tanah, mancis serta barang keperluan lain kepada kawasan pertanian dan individu sebagai hukuman kerana tidak membuat penghantaran bijirin yang tertunggak.

Ekoran jumlah kematian penduduk yang terlampau tinggi, nilai eksport hasil tanaman dan ternakan Ukraine jatuh mendadak pada 1932 berbanding tahun sebelum itu.

Kebuluran menjadi ‘musuh utama’ bagi penduduk tempatan selepas tidak diberikan sebarang makanan dan dipaksa bekerja tanpa henti sehingga ada antara mereka yang terpaksa makan daging ahli keluarga sendiri ketika itu.

Menurut beberapa saksi yang pernah menjadi mangsa kekejaman Stalin ketika itu, penduduk tempatan akan dihumban ke dalam penjara waima kanak-kanak sekalipun sekiranya me­re­ka melihat penduduk ada me­­megang atau membawa makanan.

“Mereka tidak membenarkan sesiapa untuk mengambil jagung yang jatuh ke tanah ketika musim menuai. Mereka lebih rela sekiranya jagung itu membusuk.

“Jika rejim Soviet melihat anda mengutipnya, anda boleh dipenjarakan selama 10 tahun,” kata seorang saksi yang juga merupakan penduduk tempatan di Kyiv, Mykola Savenko.

Holodomor merupakan salah satu jenayah kemanusiaan yang berlaku di dunia dan tidak didedahkan kepada umum selama berdekad-dekad lamanya. Kekejaman rejim Soviet pimpinan Stalin tidak berperikemanusiaan dan telah melanggar hak asasi manusia.

Sehingga kini, jenayah kemanusiaan seperti peristiwa Holodomor masih berlaku. Cukuplah kita melihat nasib masyarakat Muslim Rohingya di negeri Rakhine, Myanmar dan penderitaan penduduk Syria selama enam tahun. Di manakah nilai kemanusiaan yang sepatutnya ada dalam diri setiap insan? Adakah mereka ‘seronok’ menyalahgunakan kuasa sewenang-wenangnya?

Hanya warga dunia yang mampu bersama-sama mencegahnya.

Related posts

Leave a Comment