You are here

Angkasawan mohon maaf sebar berita palsu

TOKYO 10 Jan. – Gara-gara menyebarkan berita palsu tentang pertambahan ketinggiannya di ang­kasa lepas, angkasawan Jepun, Norishige Kanai hari ini tampil memohon maaf atas tindakannya itu.

Kanai semasa berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) mendakwa ketinggiannya naik sehingga sembilan sentimeter (sm) selain melahirkan kebimbangan sama ada dia akan selamat kembali ke Bumi.

Bagaimanapun pembesaran da­­lam kalangan angkasawan terhad kepada beberapa sm sahaja dan keadaan berkenaan akan kembali seperti sediakala sejurus mereka kembali ke Bumi.

Kanai, 41, yang berlepas ke angkasa lepas bulan lalu bagi misi selama hampir enam bulan di ISS memuat naik tweet dalam akaun Twitter beliau kelmarin bahawa dia ada pengumuman besar.

“Ketinggian saya telah diukur di angkasa lepas dan entah bagaimana tinggi saya bertambah sembilan sm. Hanya dalam tempoh tiga minggu saya semakin tinggi, sesuatu yang tidak pernah saya lihat sejak sekolah menengah.

“Ini membuatkan saya sedikit bimbang bahawa saya mungkin tidak dapat memasuki kerusi kapsul Soyuz untuk kembali ke Bumi,” tulis Kanai dalam tweet itu.

Bagaimanapun sehari kemudian selepas berita mengenai tweet Kanai itu tersebar, angkasawan terbabit memohon maaf.

Jelas Kanai, dia ada mengukur ketinggiannya selepas kapten kapal menimbulkan persoalan ten­tang perkembangan badannya tetapi ketinggiannya hanya bertambah dua sm.

“Pengukuran silap ini nampak­nya telah menjadi masalah besar, jadi saya mesti meminta maaf atas berita palsu ini,” tulis Kanai dalam tweet terbaharunya tanpa menjelaskan bagaimana kiraan itu boleh berlaku.

Tambah Kanai, dia berasa lega dengan pertambahan yang sedikit itu kerana dia hampir pasti boleh menaiki kapsul Soyuz. – REUTERS

Related posts

Leave a Comment