You are here

Isteri pembangkang UAE punca krisis

DOHA 13 Jan. – Krisis terbesar Asia Barat yang berlaku pada tahun lalu melibatkan Qatar dan negara-negara Arab lain didakwa berpunca daripada isu isteri seorang pemohon suaka yang menetap di London.

Menteri Luar Qatar, Mohammed Abdulrahman al-Thani mendakwa, pertikaian negara ini dengan negara-negara jirannya bermula apabila Qatar enggan menyerahkan wanita ber­kenaan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Suami wanita itu kemudian berpindah ke UK dan memohon suaka dan permohonannya diterima walau bagaimanapun isterinya yang kini telah tinggal bersama, sebelum itu memutuskan untuk tinggal di Qatar kerana keluarganya masih di sana.

Apabila wanita ber­kenaan cuba memperbaharui pasportnya di pejabat kedutaan UAE, permohonannya ditolak dan pihak berkuasa menuntut wanita berkenaan diekstradisi.

Keengganan Qatar untuk mematuhi tuntutan ber­kenaan menyebabkan UAE meningkatkan serangan terhadap kerajaan Doha dalam media sosial dan akhbar utama, lapor portal Daily Mail.

Kata Mohammed Abdulrahman, UAE berjanji akan menghentikan serangan itu jika wanita berkenaan di­serahkan kepada mereka.

Beliau mendakwa Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman membe­ritahu pemimpin Qatar bahawa pertikaian tidak akan tercetus jika wanita itu di­serahkan kepada UAE.

Seorang rakan pasangan itu memberitahu, pasangan berkenaan kini bersembunyi di UK kerana bimbang tindakan yang akan dikenakan jika dipaksa pulang ke UAE.

“Jika wanita itu diserahkan dia akan diseksa dan ditahan sebagai tebusan sehingga mereka menyerahkan suaminya,’’ kata lelaki itu.

Wanita tersebut juga akan dihukum penjara selama 10 tahun dan ini amat menakutkan ibu kepada enam anak itu.

Related posts

Leave a Comment