Saturday, February 27News That Matters
Shadow

Pengkalan Kubor yang sepi

Oleh Siti Rohana Idris – Januari 23, 2021 @ 4:28pmbhnews@bh.com.my

TUMPAT: Sudah seminggu kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor di sini, langsung tiada kelibat pengunjung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada 150 lot, kira-kira 10 sahaja kedai yang beroperasi iaitu yang membabitkan jualan perkakas dapur, kelengkapan rumah dan makanan namun boleh dikatakan peniaga hanya ‘ambil syarat’ membuka kedai.

Rata-rata mereka membuka premis hanya untuk mengemas barangan dan menyerahkan tempahan kepada individu yang menjual dalam talian selain tidak betah hanya duduk diam di rumah kerana sudah puluhan tahun berniaga di lokasi tumpuan pengunjung itu.

Bagi peniaga barangan dapur, Mohd Nafi Mamat, 38, sejak PKP berkuat kuasa pada Sabtu lalu, suasana di kawasan bebas cukai itu yang sebelum ini sudah suram kini seperti ‘dilanggar garuda’ kerana tiada pengunjung.

“Tambahan pula premis yang menjual pakaian tidak boleh beroperasi dan jika ada yang membuka kedai pun hanyalah premis barangan dapur dan kelengkapan rumah.

“Saya hanya buka kedai jika ada pelanggan yang datang untuk mengambil periuk atau pinggan mangkuk bagi jualan dalam talian dan selepas itu menutup premis semula kerana tiada pembeli.

“Sepanjang berbelas tahun saya berniaga, kawasan bebas cukai ini sentiasa dikunjungi orang ramai namun sekarang keadaan sangat ketara perbezaannya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Peniaga pakaian, Abdul Wahab Mamat, 51, berkata, lanjutan PKP sehingga 4 Februari menimbulkan rasa kecewa namun dalam masa yang sama perlu akur kerana ia adalah langkah untuk memutuskan rangkaian wabak COVID-19.

“Sudah hampir setahun keadaan lengang sebegini berlarutan dan bagi peniaga yang sudah puluhan tahun berniaga seperti saya, situasi ini sangat janggal.

“Walaupun tidak dibenarkan berniaga dalam tempoh PKP ini, saya tetap datang ke kedai bagi mengemas segala barangan dalam kedai seterusnya menghilangkan rasa bosan di rumah kerana kedai adalah rumah kedua saya,” katanya sambil meluahkan rasa buntu untuk membayar sewa bulanan kedai.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nor Hazimah Jamian, 29, terkejut dengan situasi kawasan bebas cukai itu yang sangat drastik perbezaannya.

“Keadaan di sini agak sunyi dan banyak kedai ditutup malah saya sempat merakamkan gambar serta mengambil video situasi terkini hari ini yang tidak pernah saya lihat untuk koleksi peribadi.

“Saya terfikirkan bagaimana nasib penjual kecil-kecilan ini untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka dan jika keadaan ini berterusan tidak mustahil ramai yang akan gulung tikar,” katanya.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *